Antara perkara yang paling saya benci
adalah memberitahu seorang pesakit bahawa mereka perlukan khidmat
dialisis. Saya benci kenapa ramai di kalangan masyarakat tidak peka
tentang betapa berharganya buah pinggang mereka. Tahukah anda bahawa
buah pinggang adalah antara organ yang sukar untuk diganti. Walaupun
kita ada mesin dialisis dan rawatan transplan buah pinggang, ianya tidak
dapat setanding dengan buah pinggang milik anda sendiri.
Apakah fungsi buah pinggang?
Buah pinggang adalah organ yang
bertanggungjawab untuk mennyingkirkan sisa buangan dan toksin daripada
badan kita. Tahukah anda – setiap hari – buah pinggang kita menapis
sebanyak 110 hingga 140 liter darah untuk menghasilkan 1-2 liter air
kencing. Air kencing ini mengandungi bahan buangan dan air yang
berlebihan.
Penghasilan air kencing membabitkan
beberapa proses penyingkiran dan penyerapan semula yang amat kompleks.
Proses ini penting untuk memastikan keseimbangan kimia dalam badan kita.
Buah pinggang juga menjaga keseimbangan
kandungan garam potassium, sodium dan asid dalam badan. Jika
keseimbangan ini tidak dijaga, tahap kandungan garam dan asid dalam
badan kita boleh menjadi tinggi dan ini boleh membahayakan nyawa kita.
Buah pinggang juga menghasilkan berbagai
hormon yang mempengaruhi fungsi organ lain dalam badan kita. Contohnya,
ia menghasilkan hormon erythropoietin untuk merangsang penghasilan sel
darah merah. Ia juga menghasilkan hormon yang mengawal tekanan darah
kita. Ia juga berkerja keras untuk memastikan tulang kita kuat dan sihat
melalui metabolisme kalsium serta penghasilan vitamin D.
Apa yang berlaku kalau buah pinggang tidak berfungsi?
Antara simptom penyakit buah pinggang
termasuk berat badan menurun tanpa sebab, rasa loya atau muntah, letih,
lesu atau sakit badan. Individu yang mengalami kegagalan buah pinggang
juga boleh mengalami kencing yang berkurangan, air kencing berbuih atau
air kencing yang mengandungi darah. Mereka juga boleh mengalami edema
atau bengkak pada muka, kaki, abdomen sehingga ke seluruh badan. Bagi
peringkat yang serius, ada yang mengalami pengumpulan air dalam
paru-paru hingga mengakibatkan kesukaran bernafas.
Malangnya, semua gejala ini kebiasaannya
tidak akan kelihatan sehinggalah buah pinggang mengalami kerosakan yang
teruk. Ada juga kemungkinan anda langsung tidak akan mengalami sebarang
tanda berkenaan walaupun buah pinggang sudah tidak berfungsi lagi.
Oleh sebab itu, kita perlu mengesan
pengakit kegagalan buah pinggang ini dari peringkat awal lagi. Ini amat
penting bagi individu yang berisiko tinggi untuk menghidap penyakit buah
pinggang seperti pesakit kencing manis dan darah tinggi. Masyarakat
kita juga perlu peka dan mengelakkan penggunaan ubat-ubatan atau
supplemen yang boleh merosakkan buah pinggang kita.
Buah pinggang kita adalah organ yang
bijak. Ianya tahu bahan mana yang perlu disingkirkan. Itu sebabnya kita
tidak memerlukan terapi detoksifikasi yang khusus, supplemen ataupun
ubatan khas untuk menyingkirkan toksin dalam badan kita. Oleh itu adalah
penting untuk kita menjaganya dengan sempurna untuk memastikan buah
pinggang kita dalam keadaan yang efisien untuk terus berkerja.
Artikel ini diterbitkan sempena Hari
Buah Pinggang Sedunia (12 Mac 2015). Mari bersama sayangi buah pinggang
masing-masing kerana buah pinggang yang sihat merupakan anugerah yang
tidak ternilai. Dr Nur Hidayati merupakan doktor bahagian perubatan
dalaman di sebuah universiti tempatan. Kenali beliau dengan lebih lanjut
di The Team.
No comments:
Post a Comment