Pernahkah anda rasa jantung anda
berdegup terlalu laju sehingga anda sesak nafas? Pernahkah anda rasa
pening sampai hendak pitam? Jika pernah – anda memerlukan pemeriksaan
doctor kerana anda mungkin mengalami keadaan yang dinamakan aritmia
jantung.
Apa sebenarnya aritmia jantung?
Aritmia jantung bermakna anda mempunyai
degupan jantung yang tidak teratur. Jantung yang normal berdegup
mengikut aturan ritma yang teratur. Jantung berdegup perlahan ketika
anda berehat atau dalam keadaan tenang. Ia berdegup pantas ketika anda
teruja, risau atau ketakutan. Ritma jantung dikawal sistem kawalan ritma
kompleks yang terdiri daripada neuron dan aktiviti hormon.
Kadangkala, sistem ini mungkin
bermasalah dalam sesetengah individu lalu menyebabkan degupan jantung
yang tidak teratur. Aritmia jantung yang paling kerap terjadi dikenali
sebagai fibrilasi atrium (AF). .
Apa yang terjadi jika anda ada fibrilasi atrium (AF)?
Apabila anda mempunyai AF, jantung anda
berdegup dengan tak efektif. Ini menjadi punca darah bergumpal di dalam
jantung dan gumpalan darah boleh naik ke otak, menyebabkan strok atau
angin ahmar. Inilah sebabnya jika anda mempunyai AF, doktor akan
menasihati anda supaya mengambil ubat pencair darah. Ubat ini berfungsi
untuk menghalang darah bergumpal di dalam jantung.
Mengapa AF terjadi?
AF biasanya terjadi apabila anda
mempunyai penyakit jantung seperti penyakit jantung iskemik dan tekanan
darah tinggi kronik. Peningkatan hormon tiroid, pengambilan alkohol
berlebihan berpanjangan dan sesetengah ubat juga boleh menyebabkan
kerancuan degupan jantung. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan orang
menghidap AF – tiada punca yang dijumpai.
Apakah rawatan AF?
Ada beberapa cara mengawal AF. Doktor
mungkin cuba mengembalikan ritma jantung normal menggunakan ubat atau
arus elektrik. Dalam masa yang sama, anda akan ditawarkan ubat pencair
darah juga.
Selain fibrilasi atrium, apakah lagi abnormaliti ritma jantung?
Jantung anda mungkin berdegup terlalu
laju atau terlalu perlahan. Oleh sebab itu anda mungkin mengalami pening
kepala, rasa berdebar-debar atau pitam. Jika anda mengalami gejala
sebegini – anda patut berjumpa doktor.
Apa yang doctor akan lakukan pada diri saya?
Mereka akan menanyakan gejala-gejala
yang anda alami dan memeriksa tubuh anda untuk tanda-tanda abnormal.
Kemudian, mereka akan menjalankan siasatan yang melibatkan pemeriksaan
darah atau merekod ritma jantung menggunakan mesin elektrokardiogram
(ECG). Bergantung kepada dapatan pemeriksaan dan siasatan klinikal – ada
kalanya anda mungkin perlu menjalani siasatan lanjut seperti merekod
ritma jantung 24 jam (pemantauan Holter) atau Echocardiogram (prosedur
pengimejan ultrabunyi untuk mencari abnormaliti dalam struktur jantung).
Bolehkah saya meneruskan aktiviti seperti biasa?
Bergantung kepada keadaan anda,
kebiasaannya – anda boleh meneruskan aktiviti normal harian anda selagi
mana anda berpegang kepada nasihat doktor dan mengambil ubat.
Dr. Nur Hidayati berkursus untuk
menjadi pakar penyakit dalaman dengan minat yang mendalam kepada
penyakit berjangkit dan nefrologi. Beliau seorang kolumnis tetap untuk
Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau di laman The Team.
No comments:
Post a Comment