Makanan seperti ayam goreng, pisang
goreng dan keropok lekor memang enak dimakan. Apatah lagi teksturnya
yang rangup dan dimakan pula ketika masih panas. Namun begitu,
masyarakat kita cenderung untuk menggunakan minyak masak yang sama
berulang kali ketika menggoreng untuk menjimatkan kos. Lebih-lebih lagi
penjual makanan di warung-warung atau di kedai-kedai makan. Bagaimana
pula anda di rumah? Berapa kalikah anda gunakan minyak yang sama
berulang kali ketika memasak? Dua kali? Lima kali? Sepuluh kali?
Kesan penggunaan minyak masak berulang kali
Tahukah anda menggunakan minyak masak
yang sama berulang kali boleh memudaratkan kesihatan? Ini kerana minyak
masak yang dipanaskan pada suhu yang tinggi akan mengalami suatu siri
tindak balas kimia yang akan menghasilkan pelbagai jenis produk yang
mengubah fizikal dan menjejaskan kualiti minyak tersebut. Kerana itulah
kita boleh melihat perubahan warna dan rasa kepada minyak tersebut
selepas digunakan beberapa kali.
Minyak masak seperti minyak sawit
terdiri daripada asid lemak tepu dan tidak tepu. Pada suhu yang tinggi,
asid lemak ini akan mengalami pengoksidaan yang menghasilkan radikal
bebas. Radikal bebas banyak dikaitkan dengan penyakit barah, penyakit
kardiovaskular dan penyakit neurodegeneratif seperti dementia. Minyak
sawit juga pada asalnya amat berkhasiat kerana mengandungi kandungan
vitamin E yang tinggi, iaitu sejenis antioksidan. Namun begitu, apabila
minyak sawit dipanaskan, kandungan vitamin E ini akan terhapus sedikit
demi sedikit bergantung kepada bilangan kali pemanasan tersebut. Apabila
minyak tersebut digunakan sehingga lima kali, kajian kami mendapati
bahawa lebih kurang 98% vitamin E telah terhapus berbanding sebelum
minyak itu dipanaskan1. Jadi, minyak tersebut sudah
kehilangan nutrien yang diperlukan dan pengambilan minyak tersebut tidak
membawa apa-apa kesan baik sebaliknya akan memberikan kesan toksik
kepada kesihatan.
Kesan terhadap jantung dan salur darah
Terdapat banyak kajian yang telah
dijalankan yang menunjukkan bahawa penggunaan minyak masak berulang kali
memberikan kesan buruk terhadap kesihatan jantung dan salur darah. Satu
kajian telah mendapati bahawa pemberian minyak sawit yang digunakan
sebanyak lima dan sepuluh kali menyebabkan peningkatan tekanan darah dan
kerosakan tisu pada jantung2. Begitu juga kajian yang telah
kami jalankan pada model tikus yang telah menopaus. Minyak sawit yang
telah digunakan sebanyak lima kali menyebabkan peningkatan aras
kolesterol darah serta pembentukan lesi aterosklerosis kepada model
tikus tersebut3, 4. Aterosklerosis adalah suatu keadaan di
mana terdapat pembentukan lemak di dalam salur darah arteri yang boleh
menghalang pengaliran darah ke seluruh bahagian badan. Pembentukan lesi
aterosklerosis ini boleh menyebabkan serangan jantung, strok dan
seterusnya boleh membawa maut.
Kebarangkalian seseorang wanita itu
untuk menghidapi penyakit kardiovaskular seperti aterosklerosis akan
meningkat secara mendadak selepas menopaus. Ini disebabkan oleh
penurunan aras hormon estrogen yang mempunyai pelbagai kesan
perlindungan terhadap penyakit kardiovaskular. Oleh sebab itu, adalah
amat penting bagi wanita menopaus untuk mengamalkan gaya hidup yang
sihat, termasuklah tidak menggunakan minyak masak berulang kali untuk
mengelakkan daripada menghidapi penyakit aterosklerosis serta
penyakit-penyakit kardiovaskular yang lain.
Kajian di sekitar Kuala Lumpur
Satu kajian telah dijalankan untuk
mengetahui amalan dan tahap kesedaran kesihatan peniaga-peniaga makanan
bergoreng di pasar malam – pasar malam sekitar Kuala Lumpur5.
Telah didapati bahawa walaupun majoriti daripada mereka mengetahui
bahawa penggunaan minyak masak berulang kali adalah tidak baik untuk
kesihatan, tetapi mereka tetap menggunakan minyak tersebut. Yang lebih
mengejutkan, apabila dikaji sampel minyak yang diambil dari beberapa
kawasan pasar malam di sekitar Kuala Lumpur, didapati bahawa aras
peroksida minyak tersebut adalah sangat tinggi yang melebihi aras yang
ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Dengan itu, minyak
tersebut sebenarnya harus dibuang dan tidak boleh digunakan lagi dalam
masakan. Ini mungkin terjadi kerana mereka mahu menjimatkan kos tetapi
pada masa yang sama boleh memudaratkan kesihatan pembeli makanan
tersebut.
Mahu jimat atau sihat?
Setiap individu perlu mengetahui bahawa
menggunakan minyak masak yang sama berulang kali memberikan banyak kesan
buruk terhadap kesihatan. Amalan ini bukan sahaja boleh menyebabkan
penyakit kardiovaskular, tetapi juga penyakit-penyakit lain seperti
barah, kerosakan hati serta osteoporosis. Masyarakat kita kerap
menggunakan minyak yang sama berulang kali terutama sekali ketika
menggoreng untuk menjimatkan kos. Minyak tersebut hanya akan dibuang
apabila warnanya menjadi gelap kehitaman. Ini mungkin dipengaruhi oleh
status sosioekonomi dan tahap pendidikan seseorang individu itu. Jadi,
adalah amat penting untuk meningkatkan tahap kesedaran setiap individu
tentang bahayanya amalan ini, khususnya kepada wanita menopaus yang
terdedah kepada penyakit kardiovaskular serta seluruh masyarakat kita,
amnya.
Dr Siti Khadijah seorang pensyarah
farmakologi di sebuah universiti tempatan yang mempunyai minat mendalam
pada kajian berkenaan produk semulajadi dan penyakit kardiovaskular.
Rujukan:
- Adam, S. K., Sulaiman, N. A., Top, A. M., & Jaarin, K. (2007). Heating reduces vitamin E content in palm and soy oils.Malaysian Journal of Biochemistry and Molecular Biology, 15(2), 76-79.
- Leong, X. F., Aishah, A., Nor Aini, U., Das, S., & Jaarin, K. (2008). Heated palm oil causes rise in blood pressure and cardiac changes in heart muscle in experimental rats.Archives of Medical Research, 39(6), 567-572.
- Adam, S. K., Soelaiman, I. N., Umar, N. A., Mokhtar, N., Mohamed, N., & Jaarin, K. (2008). Effects of repeatedly heated palm oil on serum lipid profile, lipid peroxidation and homocysteine levels in a post-menopausal rat model. McGill Journal of Medicine: MJM,11(2), 145.
- Adam, S. K., Das, S., & Jaarin, K. (2009). A detailed microscopic study of the changes in the aorta of experimental model of postmenopausal rats fed with repeatedly heated palm oil.International Journal of Experimental Pathology,90(3), 321-327.
- Azman, A., Shahrul, S. M., Chan, S. X., Noorhazliza, M. K., & HMS, Q. (2012). Level of knowledge, attitude and practice of night market food outlet operators in Kuala Lumpur regarding the usage of repeatedly heated cooking oil. Medical Journal of Malaysia, 67(1), 91-101
No comments:
Post a Comment