Artikel ini bukanlah ingin membincangkan
‘budaya kuning’ yang menular sejak bayi dalam kandungan lagi. Walaupun
tidak dinafikan, banyak budaya yang merisaukan kian menapak dalam
masyarakat kita.
Pernahkah anda dengar tentang neonatal
jaundice atau bayi baru lahir yang kelihatan kuning? Pada kesempatan
ini, saya ingin berkongsi maklumat tentang ‘Neonatal Jaundice’ atau
kadang kala dipanggil Demam Kuning. Diharap maklumat ini dapat memberi
manfaat kepada ibu bapa dan penjaga sekalian.
Apakah itu ‘Neonatal Jaundice’ (NNJ) atau kuning bayi?
‘Neonatal’ bermaksud bayi yang berusia
sebulan ke bawah manakala ‘jaundice’ pula secara amnya mengambarkan
keadaan apabila bayi itu kelihatan berwarna ‘kuning’.
Jadi ringkasnya , NNJ adalah keadaan apabila bayi yang baru lahir kelihatan kuning.
Mengapakah bayi kelihatan kuning?
Warna kuning pada kulit, mata putih
serta tisu mukosa dalam mulut bayi adalah disebabkan oleh tahap bahan
yang dipanggil ‘bilirubin’ lebih tinggi daripada biasa.
Dari mana datangnya bilirubin itu?
Bilirubin adalah bahan yang terdapat
dalam sel darah merah manusia. Bilirubin juga dirembeskan oleh hati yang
berperanan dalam sistem pencernaan. Jadi, kandungan bilirubin yang
tinggi boleh disebabkan oleh ‘pemecahan’ sel darah merah yang
membebaskan bilirubin atau terdapat masalah dalam sistem hati serta
salurannya.
Adakah normal untuk bayi menjadi kuning?
Jawapan bagi soalan ini boleh jadi ‘ya’ dan juga ‘tidak’. Ia bergantung kepada ‘jenis‘ bilirubin tersebut, ‘masa‘ bayi didapati kelihatan kuning dan tahap bacaan bilirubin dalam darah.
Bayi lazimnya memang akan menjadi
kuning. Kuning bayi selalunya mula dilihat pada usia 2-3 hari setelah
kelahiran.Bayi menjadi kuning kerana proses semulajadi yang berlaku
secara perlahan-lahan, di mana badan akan ‘membuang’ sel-sel darah merah
yang ‘lama’ (digunakan sejak daripada dalam kandungan) dan digantikan
dengan sel darah merah yang baru. Faktor fungsi hati yang belum
benar-benar matang juga turut menyumbang kepada keadaan kuning ini.
Bilirubin yang terkumpul dalam darah akan dinyahkan daripada badan
melalui najis bayi. Jadi adalah sangat penting untuk memastikan bayi
terus diberi susu badan dengan secukupnya.
Walaupun kuning bayi adalah ‘normal’,
namun tahap bilirubin yang terlalu tinggi akan mengubah keadaan ini
menjadi ‘tidak normal’. Tahap bilirubin daripada sel darah
merah(unconjugated bilirubin) yang terlalu tinggi adalah toksik kepada sel otak.
Ini adalah sangat merbahaya kerana otak merupakan pusat kawalan seluruh
badan. Dalam kes-kes yang serius, ia boleh menyebabkan kecacatan kekal
pada sistem otak.
Oleh itu, bayi yang kelihatan kuning
perlu dibawa ke klinik untuk pemeriksaan. Darah selalunya akan diambil
untuk menilai jenis dan tahap bilirubin tersebut. Terdapat graf yang
dirujuk oleh pengamal perubatan untuk menilai tahap bilirubin. Graf ini
penting untuk membantu para doktor membuat keputusan samada rawatan yang
spesifik perlu diberikan atau tidak. Sekiranya kandungan bilirubin
tidak terlalu tinggi, bayi boleh dijaga seperti biasa dan dan ibu bapa
serta penjaga perlu memastikan bayi disusukan dengan secukupnya.
Sejumlah besar bayi yang mengalami NNJ tidak memerlukan rawatan spesifik
dan keadaan ini akan pulih dengan sendirinya.
Sekiranya perlu, rawatan akan diberikan
untuk menurunkan tahap bilirubin tersebut. Terdapat 2 jenis rawatan,
samada lampu UV (ultraviolet) atau proses pertukaran darah yang juga
dikenali sebagai ‘exchange transfusion’. Kaedah rawatan bergantung
kepada tahap bilirubin di dalam darah. Kepekaan ibu bapa dan sikap tidak
berlengah untuk mendapatkan pemeriksaan sememangnya sangat penting
dalam pencegahan keadaan demam kuning yang merbahaya.
Apakah tempoh NNJ yang normal?
Kuning bayi masih boleh dianggap normal jika tahap bilirubin (jenis unconjugated)
tidak terlalu tinggi dan umur bayi dalam lingkungan 14 hari bagi bayi
matang dan 21 hari bagi bayi pra matang. Sekiranya bayi masih kelihatan
kuning setelah melepasi tempoh tersebut, pemeriksaan perlu dijalankan
untuk memastikan ‘jaundice’ tersebut tidak disebabkan oleh masalah –
masalah kesihatan yang lain.
Bayi yang diberi susu badan boleh
kelihatan kuning dalam tempoh yang lebih lama kerana faktor kematangan
hati tetapi keadaan ini tidak memerlukan rawatan dan akan beransur
hilang dengan sendirinya. Diharap ini tidak menjadikan sebab bagi para
ibu bapa serta penjaga berhenti memberikan susu badan dan bertukar
kepada susu formula. Penyusuan ibu secara ekslusif adalah yang terunggul
dan terbaik untuk bayi walaupun kelihatan kuning melainkan dinasihatkan
secara khusus oleh doktor. Susu ibu sesuai untuk semua bayi kecuali sebilangan kecil kes-kes tertentu.
Bila pula jaundice itu tidak normal?
- Jaundice yang hadir terlalu awal (kelihatan dalam tempoh beberapa jam setelah kelahiran)
- Tahap bilirubin yang terlalu tinggi
- Jika bayi kelihatan kuning dan terdapat tanda-tanda lain seperti air kencing berwarna pekat serta tinja kelihatan ‘pucat’ – menandakan ada masalah dalam sistem saluran hati
- Jika komponen bilirubin yang tinggi adalah daripada komponen berkaitan dengan hati (conjugated bilirubin) – ini dapat ditentukan oleh doktor daripada keputusan darah
- Jaundice yang disebabkan oleh jangkitan atau masalah kesihatan yang lain
Kesimpulan
Pencegahan adalah lebih baik daripada
rawatan. Bersegera untuk mendapatkan pemeriksaan mampu mengurangkan
komplikasi penyakit kuning. Keadaan kuning bayi adalah perkara lazim
tetapi boleh menjadi serius jika tidak dipantau. Ikutilah nasihat
pengamal perubatan setelah bayi dibenarkan pulang ke rumah. Elakkan
daripada memberi bayi cecair lain ( contoh : air kosong , jus buah, air
beras ) kecuali susu badan. Pengambilan sesetengah jamu oleh ibu yang
menyusu badan juga dikaitkan dengan kenaikan tahap bilirubin dalam bayi.
Disebabkan itu, penggunaan jamu tidak digalakkan oleh para doktor dalam
kes kes NNJ.
Dr. Alya Hamzah seorang pegawai
perubatan kanak-kanak yang bekerja di Selangor dan beliau sedang
mempersiapkan diri untuk peperiksaan pasca-ijazah pediatrik. Beliau
percaya perjalanan menuju kesihatan yang baik haruslah ditempuhi oleh
pesakit dan doktor, bersama-sama. Kenali beliau dengan lebih lanjut di
laman The Team.
No comments:
Post a Comment