Wednesday, 25 March 2015

Tentang Isu Hudud Yang 'Dipermainkan'. - Dr Maza

Tentang Isu Hudud Yang 'Dipermainkan'.
1. Umat Islam wajib menghormati hasrat baik jika ada pihak yang ikhlas untuk mengkanunkan hudud yang adil, saksama lagi MEMENUHI maqasid syariah.
2. Enakmen Jenayah Syariah Kelantan satu usaha yang bersejarah dalam negara ini. Ia telah melalui proses yang demokratik di DUN Kelantan, maka kita hendaklah hormati proses yang dibuat secara berperaturan itu.
3. Hasrat ingin melaksanakan ajaran al-Quran dan al-Sunnah mana-mana pihak hendaklah dihormati. Peranan kita memberikan pandangan balas dan menolong hasrat baik seperti itu agar kebaikan atau niat baik benar-benar mencapai maksudnya.
4. HARAM muslim menggabungkan diri dalam apa-apa aktiviti yang bertujuan menghina ajaran al-Quran dan as-Sunnah.
5. Oleh kerana Enakmen Hudud Kelantan itu mempunyai banyak pandangan dan ijtihad yang dipilih oleh pihak penggubal, ia mungkin selaras, juga mungkin tidak selaras dengan maqasid syariah berkaitan hudud dalam Islam terutama pada zaman ini, maka masa yang cukup hendaklah diberikan untuk enakmen itu DISEMAK oleh pakar-pakar MAQASID syariah di pelbagai peringkat. Kegagalan perlaksanaan hudud di beberapa negara sebelum ini diharap tidak berulang di sini.
6. Sikap majoriti umat Islam Malaysia hari ini yang menghormati undang-undang itu secara dasarnya, merupakan satu sikap yang baik. Ini berbeza dengan keadaan era 80an dahulu. Kita patut bersyukur dengan sikap ini.
7. Kita hendaklah berhati-hati portal portal berita tertentu yang cuba menimbulkan permusuhan dan salah tafsiran terhadap isu ini.

Sumber : Dr Maza

Undang undang jenayah dalam Islam ada 4 jenis

Undang undang jenayah dalam Islam ada 4 jenis :

a. Qisas
b. Hudud 
c. Diyat
d. Ta'zir

🔖Qisas melibatkan 3 kes, iaitu :

a. Bunuh dengan sengaja

b. Melukakan dengan sengaja

c. Mencederakan sehingga hilang anggota (mencacatkan) dengan sengaja

🔖Hudud pula melibatkan 6 kes :

a. Murtad

b. Merompak

c. Minum arak

d. Berzina

e. Mencuri

f. Tuduh zina (qazaf)

🔖Diyat (pampasan) pula melibatkan 2 kes :

a. Bunuh dengan tak sengaja atau seolah olah sengaja

b. Cederakan atau cacatkan dengan tak sengaja atau seolah olah sengaja.

🔖Ta'zir pula ialah hukuman hukuman lain bagi kes kes lain yang ditetapkan oleh pemerintah dalam bentuk mendidik. Contohnya saman, ia tidak sesuai dijatuhkan kepada orang yang kaya kerana ia tidak mendidik orang kaya tersebut untuk mengubah sikapnya yang sengaja melanggar lampu isyarat misalannya.

✏Secara mudahnya, hukuman yang digariskan hanyalah bagi 9 kes sahaja, iaitu mencuri, berzina, minum arak, tuduh zina, merompak, murtad, membunuh, mencacatkan dan melukakan. 

✏Ini sahaja yang wajib dilaksanakan mengikut ketetapan syarak. Manakala selebihnya seperti langgar lampu isyarat, hack komputer orang, membakar sampah sarap di kawasan terbuka dan lain lain terletak di bawah ta'zir yang mana hukumannya diputuskan oleh pemerintah mengikut kesesuaian dan bertujuan mendidik.

Tuesday, 24 March 2015

"Bicara Hudud adalah Bodoh" ; Itu Kenyataan Orang Bodoh

1. Kebodohan yang sebenar-benarnya ialah Kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, bahawa orang yang berbicara tentang Hudud adalah bodoh.
2. Ia memperingatkan kita dengan firman Allah perihal perilaku golongan Munafikin dalam ayat 13 surah al-Baqarah
"Apabila dikatakan kepada mereka, berimanlah kamu sebagaimana orang ramai beriman, mereka membalas; adakah kami patut beriman sebagaimana orang-orang bodoh beriman? Ketahuilah merekalah sebenar-benar orang yang bodoh tetapi malangnya mereka tidak tahu"
3. Undang-undang Jenayah Islam termasuk Hudud, Qisas dan Ta'zir adalah undang-undang Allah, Tuhan yang mencipta Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz dan memberi beliau nyawa, jasad, makan dan minum. Ia dibicarakan oleh Allah dalam al-Quran. Adakah Allah itu bodoh pada perkiraan Dato Seri? Memperbodohkan hukum-hakam Allah adalah memperbodohkan Allah. Ia tindakan yang boleh membawa kepada kekufuran.
4. Saya menasihati Dato Seri selaku seorang muslim agar segera bertaubat kepada Allah. Tidak ada manusia yang sempurna. Kesilapan dan keterlanjuran masih boleh diperbetulkan.
5. Ashaab al-Samahah, Mufti-mufti dan ahli agama dalam kerajaan juga perlu segera menasihati Dato Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz kerana beliau adalah seorang menteri kerajaan.
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Tarikh : Rabu 25 Mac 2015 / 4 Jamadil Akhir 1436H

Monday, 23 March 2015

DEKLARASI RUSILA 2015

DEKLARASI RUSILA 2015
Implikasi daripada perbincangan kolektif para perwakilan dalam Persidangan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah pada 20-21 Mac 2015 yang diwakili perwakilan 41 buah Negara. Maka dengan ini, kami mengisyitiharkan resolusi persidangan yang dinamakan sebagai Deklarasi Rusila 2015 seperti berikut:
Isu Palestin:
1. Perlunya sebuah struktur penyelarasan yang lebih berkesan dengan mewujudkan sebuah Pusat Penyelarasan Bantuan Palestin Global dan Pusat-Pusat Penyelarasan Bantuan Palestin di pelbagai wilayah yang sesuai dengan peranan utama iaitu:
a. Penyelarasan bantuan fizikal dan dana.
b. Penyelarasan pembangunan dan pendidikan semula Palestin.
c. Penyelarasan aktiviti pembangunan pendidikan rakyat Palestin.
2. Mencadangkan agar Pusat Penyelarasan Bantuan Palestin Global atau Global Coordination Center For Palestinian Aid(GCCPA) adalah ditempatkan di Turki.
3. Menyeru supaya Kesatuan Ulamak Sedunia memainkan peranan yang efektif sebagai wadah yang memayungi pusat-pusat penyelerasan tersebut dan melantik jawatankuasa Protem dariapada kalangan wakil-wakil gerakan Islam.
Kebajikan Muslim minoriti dan Jaringan sivil:
1. Gerakan Islam di seluruh dunia mengiktiraf badan gabungan NGO-NGO Kebajikan Gerakan Islam sebagai badan penyelaras di peringkat global di bawah Kesatuan Ulamak Sedunia.
2. Bersetuju agar skop utama badan penyelaras tersebut merangkumi pusat:
a. Penyelarasan bantuan.
b. Penyelarasan pengumpulan dan pengagihan dana.
c. Penyebaran maklumat.
d. Penyelarasan pembangunan masyarakat dari pelbagai aspek termasuk kebajikan, pendidikan, kemahiran, ekonomi dan lain-lain.
e. Latihan menanggani “bencana dan pemulihan”
3. Menyatakan kesatuan dan dokongan sepenuhnya dengan kejerihan umat Islam tertindas di Kashmir, Nepal dan Arakan. Ini termasuk hak pemberdayaan sendiri bagi rakyat Kashmir sebagaimana termaktub dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
4. Membangunakan pengkalan data bagi semua NGO Islam yang terlibat dalam aktiviti kebajikan dan lain-lain bagi masyarakat Muslim minoriti.
5. Membangunkan Peta Muslim sedunia yang terkini.
6. Menjadikan Malaysia sebagai sekretariat badan penyelaras.
Pengupayaan Dakwah di Negara Umat Islam
1. Membangunkan Pusat Pembangunan Insan(Human Development Centers) di bawah Kesatuan Ulamak Islam Sedunia bagi mengambil tanggungjawab berikut:
i. Melatih aktivis dakwah dengan ilmu dan kemahiran yang komprehensif dan menyeluruh.
ii. Menjadi pusat penyebaran pemahaman Islam yang sebenar dan sekaligus membentuk imej Islam yang positif.
iii. Pusat penyelarasan maklumat aktiviti dakwah antarabangsa.
2. Mewujudkan Pusat Pembangunan Insan serantau di Afrika Tengah, Asia Selatan, Timur jauh, Asia Tengah dan Balkan.
3. Membangunkan platform bagi jaringan aktiviti dakwah global dalam bentuk sebuah persidangan dakwah antarabangsa.
4. Menjadikan Malaysia sebagai sektetariat Pembangunan Insan Islam Global.
------
Deklarasi Rusila 2015 diumumkan pada 21 Mac 2015 di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Terengganu oleh Pengarah Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-3/2015, Tuan Haji Hussin bin Ismail.

Sunday, 22 March 2015

Syiah kenapa di Iran

SEPERTI yang kita ketahui, Iran adalah salah satu negara Syiah terbesar di dunia. Iran terkenal dengan sejarahnya yaitu ‘Revolusi (Islam) Iran’ yang dipimpin oleh Ayatullah Khomeini, seorang pemimpin besar Syiah. Namun, pernahkah kita bertanya, “Mengapa Syiah itu berpusat di Iran dan tidak di negara lain?”

Iran merupakan negara yang dahulunya dikenali dengan nama Parsi. Parsi merupakan sebuah kerajaan yang besar dimana majoriti penduduknya menganut agama Majusi (penyembah api, atau lebih dikenal sebagai Zoroasterisme). Kehidupan mereka mewah dengan harta benda, kerana memang kota-kota di Parsi indah dan subur, serta peradabannya cukup maju pada masa itu.

Pada abad ke-7 Masehi, ketika cahaya Islam baru saja menjadi satu kekuatan besar dalam percaturan kekuasaan di dunia, Islam tampil sebagai ‘rising star’ di bawah pimpinan Umar Al-Khattab. Ketika itu, Umar mengembangkan wilayah Islam hingga ke Parsi, dimana pada ketika itu Parsi bernama Sassania. Pertempuran tentara Islam melawan tentara Parsi yang dikenal dengan nama peperangan Qadisiyah, di antaranya Saad bin Abi Waqqash melawan panglima Parsi, Rustum. Parsi akhirnya kalah. Peperangan demi peperangan melemahkan lagi kerajaan Parsi sekaligus menenggelamkan kuasa Parsi ke ambang kehancuran. Akhirnya kerajaan Parsi benar-benar runtuh dalam Perang Madain pada tahun 651 Masehi.

Pada ketika itu, banyak kaum Majusi yang berpura-pura memeluk agama Islam. Niat mereka hanyalah satu : untuk menghancurkan Islam dari dalam. Mereka menyusun rencana demi meruntuhkan kekuasaan kaum muslimin dengan cara menyelewengkan ajaran Islam dengan mencampuradukkan aqidah Majusi dan Yahudi.

Dan di antara rencana itu adalah dengan pembunuhan Umar Al-Khattab, Khalifah Islam yang telah meruntuhkan kerajaan Majusi Parsi.

Itulah mengapa Syiah benar-benar benci kepada Umar Al-Khattab. Kebencian yang amat sangat itu dapat dilihat dengan pengagungan Abu Lu’luah (pembunuh Khalifah Umar) dengan gelar ‘Bapa Pembela Agama’

Sementara salah seorang puteri kaisar terakhir mereka, yaitu Yazdegerd III telah menjadi tawanan kaum Muslimin sejurus setelah kejatuhan Kaisar Parsi. Puteri Kaisar itu akhirnya dinikahkan dengan Hussein bin Ali bin Abi Thalib. Maka, karena ini jugalah mereka begitu fanatik dan cenderung ‘mendewakan’ Hussein bin Ali. Hussein memiliki keturunan dari puteri Sassania yang mereka anggap sebagai keramat.

Di sini terjawablah sudah mengapa Syiah berpusat di Iran. Syiah adalah agama yang ‘dilahirkan’ untuk membalas dendam kekalahan Kaisar Parsi terhadap Islam. Syiah adalah simbol hasad dan kemarahan kaum Parsi kepada bangsa Arab umumnya dan kaum Muslimin khususnya.

ENAKMEN JENAYAH SYARIAH KELANTAN - HUDUD

ENAKMEN JENAYAH SYARIAH KELANTAN
Ramai yang bertanya pendirian saya tentang enakmen hudud yang dibentangkan oleh Negeri Kelantan baru-baru ini.
1.Secara umumnya saya telah membentangkan kertas kerja dan menulis beberapa artikel mengenai hudud. Boleh dirujuk pandangan umum saya dalam tulisan-tulisan berkenan. Demikian juga banyak ucapan saya dalam pelbagai seminar, forum dan dialog boleh didapat di internet.
2. Pada dasarnya, saya menyokong hasrat baik Kerajaan Kelantan. Hudud itu asasnya ada dalam al-Quran dan as-Sunnah. Maka seorang muslim tidak boleh menentang hudud yang terdapat dalam kedua sumber agung tersebut.
3. Dalam masa yang sama kita hendaklah tahu bahawa perincian ataupun pendetilan undang-undang hudud itu kebanyakannya tidak disebut dalam al-Quran dan as-Sunnah. Ataupun mungkin disebut dalam beberapa nas, tetapi dari segi perbincangan fekahnya, boleh diandaikan pelbagai tafsiran, ini yang yang disebut sebagai zanniah al-dilalah (dalil yang boleh berikan lebih dari satu andaian).
4. Maka, pendetilan kepada undang-undang hudud kebanyakannya adalah ijtihad ataupun kesimpulan pandangan hukum yang dirumuskan oleh sarjana muslim dari pelbagai latar. Maka, kita dapati terdapat perbezaan dalam pendetilan hukum seperti kadar curian, suasana undang-undang itu dilaksanakan, bagaimana hukuman dilaksanakan, apakah taubat menggugurkan hukuman ataupun tidak, apakah mengandung cukup sebagai bukti dan lain-lain.
5. Walaupun kita tidak boleh membantah asas hudud dalam Islam, namun kita boleh berbeza pendapat, tidak bersetuju ataupun menolak pemilihan pandangan-pandangan sarjana dalam penetapan hukuman bagi sesuatu enakmen. Kita mungkin boleh mencadangkan pandangan yang lain dari ijtihad yang lain. Namun, proses itu semua hendaklah dalam suasana ilmiah dan menghormati hukum asas.
6. Suasana baru yang dihadapi oleh umat Islam hari ini menuntut ijtihad-ijtihad baru berkaitan hudud. Ini turut disuarakan oleh sarjana-sarjana besar fekah di zaman ini seperti al-Syeikh Mustafa Zarqa r.h, Muhammad Abu Zahrah, r.h, Dr al-Qaradawi dan lain-lain. Justeru, al-Syeikh Mustafa Zarqa tidak bersetuju hukuman rejam di zaman ini.
7. Soal latar keadaan untuk perlaksanaan sesuatu hukum juga hendaklah dikaji dengan teliti. Untuk memudahkan pemahaman orang awam, sedekah umpamanya merupakan satu syariat yang disebut dalam al-Quran dan as-Sunnah. Tiada siapa pun boleh membantah galakan bersedekah. Namun, bagi individu yang melaksanakan sedekah, dia mungkin boleh dipertikaikan ataupun dipersoalkan di sudut kelayakan dirinya, kesesuaian masa, kesesuaian sasaran sedekah, keutamaan yang patut didahulukan, jenis barangan yang diberikan, kesan sedekahnya, cara dia bersedekah dan seumpamanya. Mempertikaikan kebaikan dan syariat sedekah itu adalah merosakkan akidah. Namun, membincangkan semula cara, pendekatan, keadaan individu yang bersedekah itu adalah dibolehkan.
8. Umat Islam hendaklah berhati-hati jangan sampai mempertikaikan syariat hudud itu sendiri. Pun begitu mereka boleh bertanya balas, tidak bersetuju dengan beberapa ijtihad berkaitan hudud yang dipilih.
9. Saya sekali lagi menegaskan, saya menyokong hasrat Kelantan. Namun dalam masa yang sama, saya memohon agar diberikan ruang supaya enakmen itu disemak lagi oleh pakar-pakar perundangan Islam dan maqasid as-Syariah diperbagai peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
10. Semakan itu perlu agar kegagalan perlaksanaan hudud yang pernah berlaku di Libya, Sudan, Negeria, Pakistan tidak berulang di Malaysia yang akhir memberikan mesej salah bahawa syariat Islam itu tidak sesuai. Padahal yang tidak sesuai ialah pemilihan pandangan-pandangan ijtihad yang telah dibuat oleh mereka.
11. Kita juga hendaklah mengelakkan gambaran hudud yang tidak kondusif dan seakan menggambarkan 'kekejaman' undang-undang yang telah berlaku bawah pentadbiran Taliban, cara hudud ISIS, Bokoharam dan lain-lain. Versi hudud mereka tidak memenuhi maqasid syariah yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah.
12. Umat Islam menyokong hasrat Kelantan. Dalam masa yang sama, ruang waktu untuk pandangan kesarjanaan di pelbagai peringkat hendaklah dibuka.
13. Kita umat Islam kini sedang hidup dalam era persepsi yang salah terhadap Islam dan ajarannya. Musuh-musuh Islam merancang persepsi yang salah ini. Jika kita tidak berhati-hati, hudud akan dijadikan senjata memberikan persepsi salah itu.
14.Hudud adalah pintu yang berat tapi indah lagi menyelamatkan. Maka, kita memerlukan rumah yang sesuai untuk memasangnya. Jika dipasang di rumah yang buruk, mungkin pintu indah tapi berat berat itu boleh meruntuhkan rumah. Namun, jika dipasang di rumah yang indah juga, maka keindahan pintu itu akan terserlah dan keselamatannya akan zahir.

Sumber : Dr. Maza

Monday, 16 March 2015

Kesan Menggunakan Minyak Masak Berulang Kali kepada Jantung & Salur Darah – Dr. Siti Khadijah Adam

Makanan seperti ayam goreng, pisang goreng dan keropok lekor memang enak dimakan. Apatah lagi teksturnya yang rangup dan dimakan pula ketika masih panas. Namun begitu, masyarakat kita cenderung untuk menggunakan minyak masak yang sama berulang kali ketika menggoreng untuk menjimatkan kos. Lebih-lebih lagi penjual makanan di warung-warung atau di kedai-kedai makan. Bagaimana pula anda di rumah? Berapa kalikah anda gunakan minyak yang sama berulang kali ketika memasak? Dua kali? Lima kali? Sepuluh kali?

Kesan penggunaan minyak masak berulang kali

Tahukah anda menggunakan minyak masak yang sama berulang kali boleh memudaratkan kesihatan? Ini kerana minyak masak yang dipanaskan pada suhu yang tinggi akan mengalami suatu siri tindak balas kimia yang akan menghasilkan pelbagai jenis produk yang mengubah fizikal dan menjejaskan kualiti minyak tersebut. Kerana itulah kita boleh melihat perubahan warna dan rasa kepada minyak tersebut selepas digunakan beberapa kali.
Minyak masak seperti minyak sawit terdiri daripada asid lemak tepu dan tidak tepu. Pada suhu yang tinggi, asid lemak ini akan mengalami pengoksidaan yang menghasilkan radikal bebas. Radikal bebas banyak dikaitkan dengan penyakit barah, penyakit kardiovaskular dan penyakit neurodegeneratif seperti dementia. Minyak sawit juga pada asalnya amat berkhasiat kerana mengandungi kandungan vitamin E yang tinggi, iaitu sejenis antioksidan. Namun begitu, apabila minyak sawit dipanaskan, kandungan vitamin E ini akan terhapus sedikit demi sedikit bergantung kepada bilangan kali pemanasan tersebut. Apabila minyak tersebut digunakan sehingga lima kali, kajian kami mendapati bahawa lebih kurang 98% vitamin E telah terhapus berbanding sebelum minyak itu dipanaskan1. Jadi, minyak tersebut sudah kehilangan nutrien yang diperlukan dan pengambilan minyak tersebut tidak membawa apa-apa kesan baik sebaliknya akan memberikan kesan toksik kepada kesihatan.

Sumber: http://www.nhlbi.nih.gov
Gambar: http://www.nhlbi.nih.gov

Kesan terhadap jantung dan salur darah

Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan yang menunjukkan bahawa penggunaan minyak masak berulang kali memberikan kesan buruk terhadap kesihatan jantung dan salur darah. Satu kajian telah mendapati bahawa pemberian minyak sawit yang digunakan sebanyak lima dan sepuluh kali menyebabkan peningkatan tekanan darah dan kerosakan tisu pada jantung2. Begitu juga kajian yang telah kami jalankan pada model tikus yang telah menopaus. Minyak sawit yang telah digunakan sebanyak lima kali menyebabkan peningkatan aras kolesterol darah serta pembentukan lesi aterosklerosis kepada model tikus tersebut3, 4. Aterosklerosis adalah suatu keadaan di mana terdapat pembentukan lemak di dalam salur darah arteri yang boleh menghalang pengaliran darah ke seluruh bahagian badan. Pembentukan lesi aterosklerosis ini boleh menyebabkan serangan jantung, strok dan seterusnya boleh membawa maut.
Kebarangkalian seseorang wanita itu untuk menghidapi penyakit kardiovaskular seperti aterosklerosis akan meningkat secara mendadak selepas menopaus. Ini disebabkan oleh penurunan aras hormon estrogen yang mempunyai pelbagai kesan perlindungan terhadap penyakit kardiovaskular. Oleh sebab itu, adalah amat penting bagi wanita menopaus untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, termasuklah tidak menggunakan minyak masak berulang kali untuk mengelakkan daripada menghidapi penyakit aterosklerosis serta penyakit-penyakit kardiovaskular yang lain.

Kajian di sekitar Kuala Lumpur

Satu kajian telah dijalankan untuk mengetahui amalan dan tahap kesedaran kesihatan peniaga-peniaga makanan bergoreng di pasar malam – pasar malam sekitar Kuala Lumpur5. Telah didapati bahawa walaupun majoriti daripada mereka mengetahui bahawa penggunaan minyak masak berulang kali adalah tidak baik untuk kesihatan, tetapi mereka tetap menggunakan minyak tersebut. Yang lebih mengejutkan, apabila dikaji sampel minyak yang diambil dari beberapa kawasan pasar malam di sekitar Kuala Lumpur, didapati bahawa aras peroksida minyak tersebut adalah sangat tinggi yang melebihi aras yang ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Dengan itu, minyak tersebut sebenarnya harus dibuang dan tidak boleh digunakan lagi dalam masakan. Ini mungkin terjadi kerana mereka mahu menjimatkan kos tetapi pada masa yang sama boleh memudaratkan kesihatan pembeli makanan tersebut.

Mahu jimat atau sihat?

Setiap individu perlu mengetahui bahawa menggunakan minyak masak yang sama berulang kali memberikan banyak kesan buruk terhadap kesihatan. Amalan ini bukan sahaja boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular, tetapi juga penyakit-penyakit lain seperti barah, kerosakan hati serta osteoporosis. Masyarakat kita kerap menggunakan minyak yang sama berulang kali terutama sekali ketika menggoreng untuk menjimatkan kos. Minyak tersebut hanya akan dibuang apabila warnanya menjadi gelap kehitaman. Ini mungkin dipengaruhi oleh status sosioekonomi dan tahap pendidikan seseorang individu itu. Jadi, adalah amat penting untuk meningkatkan tahap kesedaran setiap individu tentang bahayanya amalan ini, khususnya kepada wanita menopaus yang terdedah kepada penyakit kardiovaskular serta seluruh masyarakat kita, amnya.

Dr Siti Khadijah seorang pensyarah farmakologi di sebuah universiti tempatan yang mempunyai minat mendalam pada kajian berkenaan produk semulajadi dan penyakit kardiovaskular.

Rujukan:
  • Adam, S. K., Sulaiman, N. A., Top, A. M., & Jaarin, K. (2007). Heating reduces vitamin E content in palm and soy oils.Malaysian Journal of Biochemistry and Molecular Biology, 15(2), 76-79.
  • Leong, X. F., Aishah, A., Nor Aini, U., Das, S., & Jaarin, K. (2008). Heated palm oil causes rise in blood pressure and cardiac changes in heart muscle in experimental rats.Archives of Medical Research, 39(6), 567-572.
  • Adam, S. K., Soelaiman, I. N., Umar, N. A., Mokhtar, N., Mohamed, N., & Jaarin, K. (2008). Effects of repeatedly heated palm oil on serum lipid profile, lipid peroxidation and homocysteine levels in a post-menopausal rat model. McGill Journal of Medicine: MJM,11(2), 145.
  • Adam, S. K., Das, S., & Jaarin, K. (2009). A detailed microscopic study of the changes in the aorta of experimental model of postmenopausal rats fed with repeatedly heated palm oil.International Journal of Experimental Pathology,90(3), 321-327.
  • Azman, A., Shahrul, S. M., Chan, S. X., Noorhazliza, M. K., & HMS, Q. (2012). Level of knowledge, attitude and practice of night market food outlet operators in Kuala Lumpur regarding the usage of repeatedly heated cooking oil. Medical Journal of Malaysia, 67(1), 91-101